
Apakah Apple ID?
Apple ID memberikan anda akses ke iTunes Store, App Store, iBooks Store, iCloud, FaceTime dan perkhidmatan Apple yang lain. Ia mengandungi alamat e-mel (sebagai contoh, emilyparker@icloud.com) dan kata laluan. Apple mengesyorkan anda menggunakan Apple ID yang sama untuk semua perkhidmatan Apple. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Apple ID, lihat artikel Sokongan Apple Soalan Kerap Ditanya.
Anda boleh mencipta Apple ID pada Mac, peranti iOS, atau di tapak web akaun Apple ID. Anda patut menggunakan Apple ID sama pada Mac, peranti iOS, Apple TV dan komputer Windows anda dan untuk mengakses tapak web iCloud.com. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat artikel Sokongan Apple Daftar masuk dengan Apple ID anda.
Cipta Apple ID
Anda boleh mencipta Apple ID menggunakan alamat e-mel @icloud baru yang dijanakan untuk anda atau menggunakan alamat e-mel semasa anda:
Menggunakan alamat e-mel @icloud baru: Pilih menu Apple > Keutamaan Sistem, kemudian klik iCloud. Apabila dialog muncul meminta anda mendaftar masuk ke iCloud, klik “Cipta Apple ID,” kemudian ikut arahan atas skrin.
Buka keutamaan iCloud untuk saya
Nota: Jika anda sudah mendaftar masuk menggunakan Apple ID, anda mesti daftar keluar sebelum anda boleh cipta Apple ID baru cara ini.
Menggunakan alamat e-mel yang sedia ada: Pergi ke tapak web akaun Apple ID, klik “Cipta Apple ID anda,” kemudian ikut arahan atas skrin.
Nota: Di China, anda boleh menggunakan nombor telefon dan bukannya alamat e-mel sebagai Apple ID anda. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat artikel Sokongan Apple Gunakan nombor telefon anda sebagai Apple ID anda di China.
Untuk memastikan pembelian dan akses kepada perkhidmatan Apple anda selamat, jangan kongsi Apple ID dan kata laluan anda dengan orang lain. Untuk berkongsi pembelian anda dengan ahli keluarga, anda boleh menyediakan kumpulan Perkongsian Keluarga dengan sehingga enam ahli keluarga anda. Untuk maklumat lanjut, lihat Sediakan Perkongsian Keluarga.
Untuk mendapatkan maklumat tentang menggunakan Apple ID menggunakan peranti iOS, lihat bahagian Apple ID pada panduan pengguna untuk iPhone, iPad atau iPod touch.